USUL KELAPAN
UCAPAN DAN AMALAN TUAN GURU BUKAN HUJAH SYARA’
Menganggap perbuatan dan kata-kata syaikh-syaikh sebagai hujah terhadap perkara-perkara yang telah sabit dalam ajaran Rasulullah s.a.w. merupakan punca kebinasaan sesetengah golongan. Mereka mengamalkan sesuatu perkara bid’ah dan menganggap tidak mengapa mengerjakannya. Jika ada orang yang menegur perbuatan tersebut supaya ditinggalkan dan kembali kepada Sunnah Rasulullah s.a.w. maka mereka akan menagatakan ini adalah sunnah juga bukan bid’ah kerana beralasan syaikh atau orang alim mengamalkannya. Seterusnya mereka akan mengatakan tidak mungkin orang alim akan menyalahi sunnah, melakukan sesuatu yang makruh apatah lagi terlibat dalam perkara-perkara yang menyesatkan. Dengan ini, amalan dan ucapan tuan guru menjadi setaraf dengan apa yang sabit berdasarkan kepada nas-nas syara’.
Pada prinsipnya tugas syaikh atau tuan guru adalah untuk membimbing masyarakat dalam memahami hukum-hukum syara’ berdasarkan kepada al-Qur`an dan al-Sunnah. Seseorang itu tidak boleh meletakkan kedudukan syaikh sehingga melebihi kedudukan Allah dan Rasulullah s.a.w.
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala -dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (surah Aal ‘Imran: 79)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Hujurat: 1)
Walaupun tuan guru tidak memerintahkan supaya dirinya disembah tetapi menganggap apa sahaja yang keluar dari ucapan dan amalan tuan guru sebagai sesuatu yang mendekatkan diri kepada Allah bererti meletakkan guru pada taraf sekutu bagi Allah.
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ
Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Syura: 21)
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai tuhan selain dari Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. (Surah al-Tawbah: 31)
Ayat ini menunjukkan bahawa kesesatan mereka itu berpunca daripada sikap mereka mematuhi ajaran pendita-pendita dan ahli-ahli ugama dengan membabi buta, biarpun orang alim itu menyuruh maksiat atau mengharamkan yang halal.
عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِي صَلِيبٌ مِنْ ذَهَبٍ فَقَالَ يَا عَدِيُّ اطْرَحْ عَنْكَ هَذَا الْوَثَنَ وَسَمِعْتُهُ يَقْرَأُ فِي سُورَةِ بَرَاءَةٌ { اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ } قَالَ أَمَا إِنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْبُدُونَهُمْ وَلَكِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا أَحَلُّوا لَهُمْ شَيْئًا اسْتَحَلُّوهُ وَإِذَا حَرَّمُوا عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ
Diriwayatkan daripada ‘Adi bin Hatim katanya, saya datang menemui Rasulullah s.a.w. dan di leher saya ada salib. Baginda bersabda: “Wahai ‘Adi, buangkanlah berhala ini jauh daripada engkau.” Dan saya mendengar baginda membaca ayat dalam surah al-Bara`ah (maksudnya: Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai tuhan selain dari Allah). Baginda bersabda: “Mereka itu tidak menyembah pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka tetapi apabila dihalalkan kepada mereka maka mereka menganggapnya halal dan apabila diharamkan sesuatu ke atas mereka maka mereka menganggapnya haram. (al-Tirmizi)
Hadis ini cukup memberi peringatan yang keras terhadap orang yang terlalu menurut apa sahaja yang dianjurkan oleh tuan guru tanpa melihat kepada dalil dan hujah mereka. Syaikh hanya sebagai penyampai ajaran agama bukan mereka-reka perkara lalu dikatakan kepada orang ramai bahawa ini termasuk dalam tujuan agama.
اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ
(Katakanlah kepada mereka Wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan". (al-A’raf: 3)
Oleh kerana itulah, Imam Abu Hanifah berkata: Tidak halal sesiapa yang berpegang dengan pendapat kami selagi dia tidak mengetahui puncanya dari al-Qur`an, al-Sunnah, Ijma’ ummat atau qiyas.
Ini bermakna, setiap orang Islam perlu mengetahui dalil dalam perkara yang dilakukannya bukan semata-mata menurut sahaja pendapat. Kepada orang berilmu, penjelasan perkara agama hendaklah disertakan dengan dalil supaya masyarakat lebih dekat kepada sumber ajaran mereka sendiri.
عن كثير بن عبد الله بن عمرو بن عوف عن ابيه عن جده أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال اتقوا زلة العالم وانتظروا فيئته
Diriwayatkan daripada Kathir bin ‘Abdullah bin ‘Amar bin ‘Auf daripada ayahnya daripada datuknya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Waspadalah terhadap kegelinciran orang berilmu dan tunggulah kembalinya (kepada kebenaran). (al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, jil. 10, hal. 211, Dar al-Fikr)
Di kalangan orang yang mempunyai ilmu agama ada juga yang tergelincir atau terkeliru dalam mengamalkan sesuatu perkara atau tersalah ketika menjelaskan urusan agama. Oleh kerana itu, hendaklah kita berhati-hati dan jangan terburu-buru mengikuti perbuatannya atau terus menerima bulat-bulat pendapatnya, tetapi tunggulah sehingga dia kembali kepada petunjuk al-Qur`an dan al-Sunnah.
Justeru, orang yang memahami urusan ilmu agama, yang dianggap alim oleh masyarakat, hendaklah berwaspada dan meneliti apa yang diperkatakan dan dilakukan dalam urusan agama. Ini kerana kesilapan yang dilakukannya akan membawa kepada kesilapan masyarakat awam sebagaimana kekeliruannya menyebabkan kekeliruan mereka.
Disebabkan inilah Rasulullah s.a.w. memberi peringatan tegas:
عَنْ ثَوْبَانَ عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ : إِنَّمَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِى الأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ.
Diriwayatkan daripada Thauban daripada Rasulullah s.a.w: “Sebenarnya apa yang aku bimbang ialah imam-imam yang menyesatkan. (al-Tirmizi, al-Darimi)
Ketika menghuraikan hadis ini, al-Mubarakfuri berkata: iaitu mereka yang menyeru kepada bid’ah-bid’ah, kefasikan dan kekejian. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 6, hal. 483)
عَنْ زِيَادِ بْنِ حُدَيْرٍ قَالَ قَالَ لِى عُمَرُ : هَلْ تَعْرِفُ مَا يَهْدِمُ الإِسْلاَمَ؟ قَالَ قُلْتُ : لاَ. قَالَ : يَهْدِمُهُ زَلَّةُ الْعَالِمِ وَجِدَالُ الْمُنَافِقِ بِالْكِتَابِ وَحُكْمُ الأَئِمَّةِ الْمُضِلِّينَ
Diceritakan daripada Ziyad bin Hudair katanya, ‘Umar bertanya kepada saya, adakah engkau tahu apakah perkara yang meruntuhkan Islam. Beliau berkata, saya menjawab, tidak. Dia berkata, Islam itu diruntuhkan oleh kegelinciran alim ulama, perdebatan orang-orang munafiq tentang al-Qur`an dan pemerintahan pemimpin yang sesat. (Sunan al-Darimi)
Ketinggian dan keagungan Islam akan lenyap kerana kegeliciran orang alim yang cuai terhadap sunnah Rasul, orang munafiq yang suka berdebat dengan menyatakan sunnah tetapi sebenarnya menyembunyi bid’ah dan imam-imam yang membuat keputusan atau pemimpin yang memerintah mengikut hawa nafsu. Ketiga-tiga golongan ini memainkan peranan utama dalam mewarwarkan bid’ah dan mengelirukan masyarakat tentang ajaran sebenar Islam. Masyarakat akan mudah menerima dan menganggap benar jika sesuatu fahaman dan amalan yang diperkenalkan oleh alim yang menyeleweng itu disokong pula oleh pemerintah yang jahil. Ahli bid’ah pula sentiasa berhujah dengan ayat al-Qur`an dan hadis tetapi dengan takwilan yang menyesatkan untuk membenarkan bid’ah yang dianjurkan oleh mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila bid’ah maulid dianggap baik oleh pihak ulama yang tidak bertanggungjawab lantas kerajaan mengisytihar cuti umum pada 12 Rabi’ Awal kononnya hari itulah hari kelahiran Rasulullah s.a.w. yang sepatutnya diperbesarkan. Selain itu, diadakan pula beberapa acara yang tidak ada kena mengena dengan tuntutan agama seperti perarakan sambil bernasyid dan berselawat di sekeliling bandar. Lebai-lebai di kampung pula menyeru orang ramai supaya mengadakan jamuan maulid kerana ini mendatang pahala yang besar dan sebagai mengingati Rasulullah s.a.w.. Sedangkan mereka sendiri tidak mengadakan jamuan untuk masyarakat. Apa yang penting kepada mereka pada bulan Rabi’u Awal ialah rezki untuk mereka luas terbuka. Walhal, amalan dan upacara seperti ini tidak pernah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. baik secara terang mahupun secara isyarat. Walaupun sahabat mempunyai kecintaan yang tinggi dan kasih kepada baginda, namun mereka tidak pernah menganggap sebagai elok mengadakan pelbagai acara untuk menyambut kelahiran baginda termasuklah jamuan kesyukuran ataupun berpuasa secara khusus pada hari tersebut. Ini kerana sambutan sebegini merupakan sesuatu yang asing daripada ajaran Islam. Masyarakat yang keliru akan menurut sahaja apa yang telah diputuskan oleh pihak yang mereka percayai. Sepatutnya dalam perkara seperti ini mereka perlu merujuk kepada al-Qur`an dan al-Sunnah serta apakah yang telah dipraktikkan oleh para sahabat. Ulama seharusnya membimbing masyakarat memahami sunnah bukannya mempelopori bid’ah. Di sini letaknya peranan ulama akhirat atau dengan istilah lain ulama rabbani seperti yang disebutkan dalam firman Allah dalam surah Aal ‘Imran ayat 79.
Dalam hal ini, Allah s.w.t. telah mengingatkan kita tentang gejala yang pernah berlaku di kalangan Ahli Kitab supaya kita mengelakkan diri daripada turut sama terbabit.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّ كَثِيرًا مِنَ الْأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). (Surah al-Tawbah: 34)
No comments:
Post a Comment