Monday, June 20, 2011

HURAIAN HADIS SEDEKAH JARIAH (2)




Kefahaman tentang sedekah jariah itu bukan setakat dengan harta benda tetapi termasuk menunjukkan jalan hidayat dan ilmu yang berguna yang diajarkan kepada orang lain. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْمَرْءُ الْمُسْلِمُ عِلْمًا ثُمَّ يُعَلِّمَهُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik sedekah ialah seseorang muslim itu mempelajari satu ilmu kemudian mengajarkannya kepada saudaranya yang muslim.[1]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَحَثَّ عَلَيْهِ فَقَالَ رَجُلٌ عِنْدِي كَذَا وَكَذَا قَالَ فَمَا بَقِيَ فِي الْمَجْلِسِ رَجُلٌ إِلَّا تَصَدَّقَ عَلَيْهِ بِمَا قَلَّ أَوْ كَثُرَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ اسْتَنَّ خَيْرًا فَاسْتُنَّ بِهِ كَانَ لَهُ أَجْرُهُ كَامِلًا وَمِنْ أُجُورِ مَنْ اسْتَنَّ بِهِ وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ اسْتَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَاسْتُنَّ بِهِ فَعَلَيْهِ وِزْرُهُ كَامِلًا وَمِنْ أَوْزَارِ الَّذِي اسْتَنَّ بِهِ وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abu Hurairah katanya seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu baginda menggalakkan para sahabat supaya bersedekah kepada lelaki itu. Lalu seorang lelaki berkata saya mempunyai sekian banyak harta. Abu Hurairah menyebutkan lagi, tidak ada seorang lelaki pun dalam majlis melainkan bersedekah kepada lelaki itu, dengan banyak ataupun sedikit. Melihatkan keadaan begini Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa merintis kepada kebaikan lalu diikuti oleh orang lain, maka dia memperolehi pahalanya dengan sempurna dan pahala orang-orang yang menurutinya tanpa mengurangkan pahala-pahala mereka dan sesiapa yang merintis kepada kejahatan lalu diikuti maka dia menanggung dosanya dengan sepenuhnya dan dosa-dosa mereka yang mengikutinya tanpa dikurangi dosa mereka itu sedikitpun.” [2]

عَنْ أَنَس بْن مَالِك، عَنْ رَسُول اللَّه صَلى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَمْ؛ أَنَّهُ قَالَ: أيّما داعٍ دعا إِلَى ضَلالةٍ فاتبع، فإنَّ لَهُ مثلَ أوزارِ من اتّبعه ولا يَنقُصُ ِمن أوزارهم شَيْئاً. وأيّما داعٍ دعا إِلَى هُدى فاتُّبِعَ، فإنّ لَهُ مثلَ أجورِ مَنْ اتَّبَعَهُ، ولا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُوْرِهمْ شَيْئاً.

Daripada Anas bin Malik daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda telah bersabda: “Mana-mana penyeru kepada kesesatan lalu ia diikuti maka dia memperolehi dosa seperti dosa-dosa sekalian orang yang mengikutinya tanpa kurang sedikitpun daripada dosa-dosa mereka. Mana-mana penyeru kepada petunjuk lalu ia diikuti maka dia memperolehi pahala seperti pahala-pahala sekalian orang yang mengikutinya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala-pahala mereka.[3]

عَنْ كَثِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي قَدْ أُمِيتَتْ بَعْدِي فَإِنَّ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلَ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ النَّاسِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِ النَّاسِ شَيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً لَا يَرْضَاهَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ فَإِنَّ عَلَيْهِ مِثْلَ إِثْمِ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ النَّاسِ لَا يَنْقُصُ مِنْ آثَامِ النَّاسِ شَيْئًا

Daripada Kathir bin Abdullah daripada bapanya daripada datuknya katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan salah satu sunnahku yang telah dimatikan selepasku, maka dia memperolehi ganjaran seperti orang yang beramal dengannya tanpa kurang sedikitpun daripada amalan mereka. Sesiapa yang mengadakan bid’ah yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya maka dia menanggung dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa kurang sedikitpun amalan mereka.[4]

Daripada hadis-hadis atas, dapat kita mengambil pengajaran bahawa kita mestilah mengutamakan amalan-amalan yang menjamin pahala yang berterusan kepada kita walaupun kita telah meninggal dunia. Dengan amalan sebegini tidak perlu mengharapkan sebarang kiriman pahala yang tidak pasti kedudukannya sama ada sampai pahalanya kepada si mati atau tidak.

Amalan yang menjamin pahala yang berterusan mempunyai nilai yang istimewa kerana ia mendatangkan faedah dan manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat. Kesan baik daripadanya ialah amalan itu tetap dikenang oleh sesiapa sahaja yang mendapat manfaat daripada harta yang diwakafkan. Hal yang sama juga ada pada ilmu yang berguna yang dapat memandu masyarakat ke arah kehidupan yang bahagia dan sejahtera.[5]

Untuk mewakafkan harta tidak semestinya seseorang itu kaya dan mempunyai harta yang bertimbun dan tanah yang beratus ekar. Seringgit yang dibelanjakan untuk mendirikan masjid atau pusat ilmu amat bermakna dengan syarat ia diberikan dengan penuh keikhlasan. Alangkah besarnya kurniaan Allah seperti yang difirmankan-Nya:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 261)

لِمِثْلِ هَذَا فَلْيَعْمَلِ الْعَامِلُون

Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia). (al-Saffat: 61)



Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net

No comments:

Post a Comment